Pengiktirafan OMK

 

Pengiktirafan Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) Mengikut Peringkat

Untuk makluman semua, bermula tahun 2019, pihak pengurusan Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dengan persetujuan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan beberapa syarat bagi menentukan peringkat (dibahagikan kepada 5 peringkat) yang sewajarnya diberikan kepada pihak sekolah/institusi yang menyertai pertandingan Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK). Pertama sekali, jika tiada sebarang saringan pemilihan pelajar dilakukan oleh pihak sekolah/institusi untuk menyertai pertandingan OMK, maka penyertaan pertandingan tersebut dikategorikan sebagai peringkat sekolah/institusi sahaja. Namun jika saringan pemilihan pelajar dilakukan, pertandingan OMK yang disertai akan dikategorikan sebagai peringkat daerah. Seterusnya, jika pelajar anda yang menyertai pertandingan OMK tersenarai sebagai pemenang OMK (tempat pertama, kedua, ketiga, saguhati dan sanjungan kehormat (individu atau kumpulan)), pertandingan OMK yang disertai layak dikategorikan sebagai peringkat negeri. Kemudian, jika peserta OMK dari sekolah/institusi anda dipanggil untuk saringan bagi IMO (International Mathematical Olympiad), maka pertandingan OMK yang disertai ini akan dikategorikan sebagai peringkat kebangsaan. Akhir sekali, jika pelajar anda terpilih (6 pelajar) dari saringan IMO, maka pertandingan OMK ini akan dikategorikan sebagai peringkat antarabangsa.